ANGKARA membuat laporan palsu mengenai kejadian rogol, Disember lalu, seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas dua pertuduhan termasuk pemerasan sehingga mendatangkan ketakutan kepada seorang lelaki.
Nor Hafizah Shamsuddin, 31, yang juga pelakon drama pendek di YouTube mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan pemerasan kepada lelaki berusia 29 tahun hingga mendatangkan ketakutan sesuatu bencana iaitu akan melaporkan kepada polis bahawa lelaki itu merogolnya.
Kesalahan dilakukan di sebuah restoran nasi kukus di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa jam 3 petang, 19 Disember tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memberi maklumat palsu kepada anggota polis bahawa dia dirogol oleh lelaki sama dan seorang lagi lelaki berusia 21 tahun dengan niat agar mereka dikenakan tindakan.
Kesalahan itu dilakukan di kaunter Balai Polis Kubang Kerian jam 12.08 tengah malam, 20 Disember lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Riduan Ismail.
Terdahulu, Sharifah Amirda Shasha memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM5,000 untuk kedua-dua pertuduhan.
Riduan dalam rayuannya meminta jaminan minimum kerana anak guamnya seorang suri rumah selain perlu menjaga empat anak berusia 10, lapan, tiga dan dua tahun.
“Suami tertuduh juga hanya berniaga secara kecil-kecilan. Situasi ini amat membebankan anak guam saya lebih-lebih lagi negara kini berdepan dengan penularan wabak Covid-19,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM2,500 untuk pertuduhan pertama dan RM1,000 bagi pertuduhan kedua masing-masing dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 21 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – Malaysiapost
Foto Kredit: Harian Metro

