Pusat pemindahan pula banjir, mangsa kena pindah sekali lagi

0
2

SERAMAI 209 mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Taman Malihah di Kuching, terpaksa berpindah sekali lagi selepas penempatan itu dinaiki air pagi tadi. 

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM), Sarawak, Mohtar Samat, berkata mereka yang membabitkan 48 keluarga itu dipindahkan ke PPS baharu di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Sungai Tengah. 

“Mereka dipindahkan sebaik sahaja dewan itu dikenal pasti tidak selamat digunakan. Ini kali pertama kejadian ini berlaku sejak dewan tersebut dijadikan PPS dan sememangnya diwartakan sebagai lokasi penempatan sementara mangsa banjir,” katanya seperti dilaporkan Bernama. 

Beliau ditemui ketika membuat tinjauan di PPS Dewan Taman Malihah hari ini. 

Menurutnya, sudah bertahun dan banyak kali dewan itu digunakan untuk mangsa banjir namun kali ini ia mendatangkan sedikit cabaran kepada semua mangsa dan pihak yang terbabit untuk mencari PPS lain. 

Sementara itu, mangsa banjir, Kasmawati Ram, 29, berkata dia terkejut dengan kejadian tersebut yang berlaku semasa dia dan anak-anaknya sedang tidur. 

“Saya terjaga selepas kaki terasa sejuk terkena air dan terus kejutkan anak-anak sambil kemaskan barang dan keluar dari khemah Nadma menuju ke atas pentas untuk berlindung,” kata ibu kepada lima anak berusia lapan bulan hingga 9 tahun itu. 

Meliah Ekram, 62, pula berkata dia agak trauma dengan kejadian tersebut selepas mengharungi detik hampir sama apabila rumahnya di Taman Malihah Fasa 1 ditenggelami air hingga paras pinggang semalam. 

“Saya panik kerana ini adalah tempat yang selamat tetapi turut dinaiki air namun dengan bantuan anggota keselamatan yang bertugas di sini, kami semua tenang dan selamat,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here