Tulisan Prof Shamsul Amri pedih, tetapi benar – Annuar Musa

0
1

MEMANG pedih, kata bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berhubung tulisan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Ulung Shamsul Amri Baharuddin yang menyifatkan Umno kini umpama lemas di kolam cetek.

Annuar berkata, susulan tulisan itu, dalam kumpulan WhatsApp pemimpin Umno ada yang marah dan dalam penafian, tetapi ramai juga berjiwa besar menerima kritikan.

“Saya mendapati ia benar. Saya merasakan Umno perlu mendengar, jika tidak bakal hanyut semakin jauh.

“Masih ramai yang masih dibuai mimpi lama, ketika rakyat sudah jauh berubah. Masih ramai selesa dalam kepompong lama, sedangkan parti lain telah merekayasa parti mereka masing masing.

“Kekalahan PRU14, seolah tidak memberi sebarang pengajaran. Sebarang teguran dikira pembelotan dan perlu disingkirkan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Menteri Wilayah Persekutuan itu bagaimanapun merasakan belum terlambat untuk membangkitkan kesedaran dalam Umno, malah telah ada gelombang kesedaran baharu yang mampu membesar.

Yang diperlukan, katanya, adalah keberanian serta keihlasan dalam perjuangan.

“Ya… lemas di kolam cetek kerana hilang upaya atau terlena di kolam renang, bukan tiada kepandaian berenang.

Pulihkan keupayaan, bangunlah dari lena yang panjang,” katanya lagi.

Semalam, Prof Shamsul Amri dipetik menulis, Umno yang berumur 75 tahun pada Mei ini dan setelah menjadi parti peneraju negara untuk lebih 60 tahun seharusnya sudah matang, terutama para pemimpinnya, tetapi jelas tidak.

Umno, katanya, kini umpama lemas di kolam yang cetek. Terkapai-kapai mencari haluan.

“Selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) keseluruhan organisasi Umno mula terungkai dari atas hingga ke bawah, seperti si latah yang disergah menanggal pakaian satu demi satu.

“Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang untuk sekian lamanya adalah jantung dan otak Umno sekali gus tiba-tiba terencat. Oleh kerana hospital politik seperti Institut Jantung Negara (IJN) tiada, penyakit Umno tidak dirawat, semakin hari semakin parah.

Selepas PRU14, Umno yang kini bersendirian mula terpecah kepada beberapa ‘kelompok strategik’ setiapnya diikat oleh kepentingan-kepentingan tertentu oleh anggota dalam kelompok itu kerana pimpinan pusat kian di MKT tidak terpusat, malah tidak keharuan.

“Di peringkat bahagian dan cawangan UMNO, seperti retak menanti belah, keadaan perselisihan pra-PRU14 menjana pecahan dalaman yang berserpihan. Ramai yang masih menjadi ahli berdaftar tetapi telah tidak mengundi UMNO atau BN dalam PRU14,” tulis Prof Shamsul Amri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here