Mangsa banjir di Pahang menurun

0
1
grafik

MANGSA banjir di Pahang menurun kepada 11,397 orang daripada 3,039 keluarga yang kini ditempatkan di 125 pusat penempatan sementara (PPS) di lapan daerah setakat jam 9 pagi ini.

Berbanding petang semalam, portal info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 14,320 mangsa banjir daripada 3,879 keluarga di 128 PPS.

Daerah Pekan mencatatkan jumlah paling ramai iaitu 3,297 mangsa daripada 925 keluarga; diikuti Temerloh, 3,117 mangsa (779 keluarga) dan Maran, 2,066 mangsa (587 keluarga).

Di Bera pula merekodkan 1,601 mangsa daripada 440 keluarga: Lipis, 353 mangsa (93 keluarga); Kuantan, 841 mangsa (188 keluarga); Jerantut, 73 mangsa (22 keluarga) dan Raub, 49 mangsa (sembilan keluarga).

Portal itu melaporkan setakat ini jumlah keseluruhan mangsa banjir membabitkan lima negeri adalah 16,306 orang daripada 4,511 keluarga yang ditempatkan di 177 PPS.

Johor merekodkan 2,913 mangsa daripada 811 keluarga setakat jam 9.30 pagi tadi, manakala Sabah 1,115 mangsa daripada 434 keluarga setakat petang semalam.

Di Sarawak pula 849 mangsa daripada 227 keluarga ditempatkan di 12 PPS dan di Kelantan hanya tinggal 32 mangsa daripada enam keluarga di Pasir Mas.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), pagi ini mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa daerah di Selangor membabitkan Kuala Selangor, Klang dan Kuala Langat.

Dalam kenyataan itu, MetMalaysia memaklumkan keadaan sama berlaku di Miri (Marudi) dan Limbang di Sarawak.

Bahagian pedalaman di Sabah membabitkan Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort turut mengalami keadaan cuaca sama manakala amaran ribut petir di Labuan pula adalah sehingga 9 pagi ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here