Muhyiddin sudah kalah, hilang majoriti- Nazri

0
1

Najamuddin Mohd Nor

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin “sudah kalah” dan tidak mempunyai majoriti sokongan di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata kekalahan Muhyiddin dapat ditafsirkan apabila dia memohon darurat

“Pada saya bila mohon darurat, bermakna buat pengakuan dia sudah kalah dan sudah tidak ada majoriti.

“Ini logik untuk dia minta darurat,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Bekas menteri itu menambah, beliau bukan mahu meminta Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan serta-merta dan meminta semua pihak supaya tidak salah faham.

Menurutnya, keputusan penarikan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pasti akan menjadi modal politik pihak-pihak tertentu untuk memburukkan Umno kononnya parti itu mendesak PRU15 di saat negara dilanda pandemik Covid-19.

Bagaimanapun katanya, PRU15 boleh diadakan sebaik wabak berakhir seperti titah Yang Dipertuan Agong yang telah perkenan Proklamasi Darurat dilaksanakan.

“Dalam titah Tuanku itu, sebaik sahaja Covid-19 ini selesai, PRU15 boleh diadakan.

“Ramai orang sengaja nak memburukkan Umno dan menunjukkan kemarahan rakyat.

“Kita cuma nak beritahu kerajaan telah jatuh. Itu sahaja. PRU15 boleh diadakan selepas Covid-19,” katanya.

Mengulas lanjut pengisytiharan darurat, Mohamed Nazri menyifatkan ia sebagai darurat politik.

“Bagi saya itu ‘ambition defeat’ oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mana dia sendiri menyedari telah tiada majoriti.

“Dalam masa singkat dia telah umum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), darurat pula diumumkan. Saya fikir ini nak elak PRU15, bolehlah dikatakan ini darurat politik, kalau darurat Covid kita dah ada PKP,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here