Nurul Huda Abhar
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Aminolhuda Hassan disahkan positif Covid-19 pagi tadi selepas menjalani ujian saringan di sebuah klinik.
Beliau yang juga Pengerusi Amanah Johor memaklumkan kesihatannya kurang memuaskan sejak Ahad lalu seterusnya membuat pemeriksaan di klinik.
“Pagi ini, Selasa 12 Januari 2021, Saya dimaklumkan bahawa saya positif Covid19.
“Saya mohon kepada sesiapa yang ada bertemu dengan saya dalam beberapa hari lalu untuk membuat pemeriksaan sewajarnya.
“Mohon maaf kepada semua. Mohon juga doa agar Allah permudahkan dan segerakan kesembuhan saya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, disahkan positif Covid-19.
Mustapa kini dalam rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu, manakala Rina dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.
Hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin disahkan positif Covid-19, susulan ujian saringan yang dilakukan beliau semalam.
Pejabat Menteri Dalam Negeri menerusi kenyataan memaklumkan Hamzah akan menjalani tempoh kuarantin mengikut saranan dan pemantauan rapat oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – Malaysiapost

