Nurul Huda Abhar
KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menasihatkan penjawat awam serta masyarakat tidak menyebarkan berita palsu.
Ini kerana ia boleh mencetuskan ketidaktenteraman awam serta menyukarkan pihak berkuasa terutama petugas barisan hadapan melaksanakan tugas kawalan pandemik Covid-19.
Presidennya, Adnan Mat berkata, sebagaimana disebut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, sektor perkhidmatan kerajaan akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh darurat.
Tambah beliau, penjawat awam perlu kekal fokus kepada tugas masing-masing dalam usaha mengekang penularan Covid-19 dan pada masa sama melaksanakan pelbagai program pemulihan semula ekonomi negara.
“Ordinan darurat ini hanya dilaksanakan untuk tingkatkan penguat kuasaan keselamatan dan ketenteraman awam sahaja.
“Sektor ekonomi masih lagi berlangsung seperti biasa berdasarkan ketetapan perintah kawalan pergerakan di kawasan masing-masing.
“Justeru perkhidmatan awam juga akan terus beroperasi bagi memberi khidmat kepada orang awam dan sokongan kepada sektor ekonomi. Berilah perkhidmatan terbaik dengan menjadi pemudah cara kepada rakyat yang sememangnya terkesan pada hari ini.
“Orang ramai juga dinasihat tidak melakukan kunjungan panik ke premis-premis kerajaan kerana operasi setiap jabatan masih tertakluk berdasarkan prosedur operasi standar (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan di kawasan masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Adnan berkata, CUEPACS berharap semua pemimpin dan ahli politik dapat memberi kerjasama dan menghormati keputusan kerajaan dan elak daripada melakukan perkara yang boleh menimbulkan keresahan rakyat.
Katanya, semua pihak harus menjadikan tempoh perintah darurat sebagai waktu untuk memberi khidmat kepada rakyat yang menghadapi kesukaran ekoran Covid-19 .
“Tidak kira pemimpin politik kerajaan atau pembangkang, jadikan rakyat sebagai keutamaan dalam membuat sebarang keputusan,” ujarnya. – Malaysiapost

