Kenyataan beberapa pemimpin UMNO berkenaan kerjasama dengan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mengejutkan, kata bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Osman Sapian.
Utusan Malaysia melaporkan, Osman mendakwa bahawa terdapat pemimpin UMNO yang tidak jujur ketika bersama dalam kerajaan Perikatan Nasional.
Tambahnya, kerjasama yang dibuat oleh UMNO bersama Bersatu ketika ini juga adalah kerana sebilangan pemimpin parti tersebut yang mengharapkan kedudukan dan jawatan.
“Kita tidak terperanjat jika UMNO mahu berbuat demikian kerana perkara ini kita sudah nampak dari awal lagi apabila mereka bersama Bersatu hanya untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan.
“Apabila jadi kerajaan dan mempunyai kedudukan, mereka jadikan ia sebagai platform untuk perkukuh kedudukan dengan meletakkan individu di jawatan berkepentingan sama ada di peringkat akar umbi seperti ketua kampung, ahli majlis atau di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Tambah Osman, antara individu dalam UMNO yang lantang bersuara ketika ini adalah mereka yang tewas dalam PRU lalu serta tidak mendapat kedudukan yang diinginkan.
Katanya, ini termasuklah mereka yang pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan sewaktu pentadbiran BN sebelum gabungan parti politik itu tumbang pada PRU14.
“UMNO ini pemimpin mereka ramai yang tidak jujur, bukan sahaja tidak jujur dengan Bersatu, tetapi juga dengan masyarakat.
“Jika hasratnya mahu membantu dan memberi manfaat kepada rakyat, mereka masih boleh berbuat demikian walaupun berada di luar kerajaan dan tidak memegang sebarang jawatan besar,” katanya.

