Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menolak sekiranya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahu melaksanakan darurat.
Beliau berkata, jika laporan media adalah betul bahawa kerajaan PN telah bersetuju untuk sekali lagi menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk meminta darurat dengan alasan melawan Covid-19.
“Maka saya percaya keputusan ini adalah berasaskan politik dan bukan untuk melawan Covid-19.
“Sebab kita maklum bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama bulan Mac hingga April dulu adalah amat tegas termasuk mengarahkan anggota tentera untuk mengawal keadaan.
“Apa lagi yang tak cukup untuk lawan Covid masa PKP pertama itu?,” soalnya.
Katanya lagi, seperti dibuktikan pada PKP pertama tahun lepas, undang-undang Malaysia di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sudah cukup kuat untuk segala kerja mengawal Covid-19 tanpa pengisytiharan darurat dan menggantungkan Parlimen.
“Jika ianya benar bahawa permintaan darurat dibuat sekali lagi maka lagi ramai rakyat yang akan membina persepsi bahawa kerajaan hari hanya sekadar mahu mengekalkan kuasa politik mereka dan bukan atas kepentingan rakyat,” ujarnya.
Tambahnya, ramai juga yang akan membina persepsi bahawa kerajaan PN melonggarkan hampir semua Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk menarik balik sekatan rentas negeri kerana sengaja menggadaikan kesihatan dan nyaawa rakyat dengan membiarkan keadaan Covid-19 menjadi teruk.
“Ia agar mereka ada peluang untuk meminta darurat sekali lagi setelah permintaan darurat pertama mereka telah gagal pada bulan Oktober lalu.
“Sebab itu, sekadar PKP 2.0 sudah memadai jika mahu dilaksanakan,” katanya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bersiaran langsung jam 6 petang ini dipercayai berkenaan perutusan khas pelaksanaan PKP. -Malaysiapost

