Manakala bagi enam negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah, pergerakan rentas daerah juga tidak dibenarkan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata bagi mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan rantaian Covid-19, aktiviti sosial membabitkan perkumpulan beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan juga tidak dibenarkan.
“Bagi negeri di bawah pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP), aktiviti sosial dibenarkan tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas mengenai pelaksanaan PKP, hari ini.
Beliau berkata, susulan larangan Pergerakan merentas negeri dan daerah itu, operasi sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuatkuasa pada 12.01 tengah malam Rabu ini.
“Bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan anda adalah terhad di dalam 10 kilometer (km) radius sahaja.
“Bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang berdekatan dengan hanya dua anggota isi rumah dibenarkan keluar dan berada dalam kenderaan sama,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga sudah mengenalpasti lima sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu.
“Sektor ini adalah pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran serta perladangan dan komiditi.
“Sektor ini dibenarkan beroperasi kerana peranannya menyokong kerja-kerja membekal keperluan asas seperti makanan, minuman dan barangan keperluan rumah serta penjagaan diri,” katanya. – Malaysiapost

