Aiman Hanif
FASILITI Kementerian Kesihatan (KKM) pada ketika ini sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan jangkitan baharu Covid-19, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata 15 buah hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil Covid-19 melebihi 70 peratus.
“Di Lembah Klang kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan di Pusat Perubatan
Universiti Malaya (PPUM) telah mencapai 100 peratus manakala di Hospital Sungai Buloh pula telah mencapai 83 peratus.
“Sementara itu, kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di lima buah negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak
telah melebihi 70 peratus.
“Buat masa ini, terdapat lebih dari 1,450 orang anggota perubatan di hospital seluruh negara yang telah dijangkiti atau terpaksa menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas,” katanya ketika menyampaikan perutusan yang disiarkan di TV1, hari ini.
Tambah Muhyiddin, jumlah kematian akibat Covid-19 pula terus meningkat kepada 521 kes dengan kadar kematian sebanyak 0.41 peratus.
Katanya, Malaysia mencatatkan lebih 100 kes kematian sebulan bagi bulan Oktober hingga Disember 2020 berbanding dua hingga 59 kes kematian sebulan bagi bulan Mac hingga September 2020.
“Pertambahan kes harian yang tinggi menyebabkan kelewatan petugas kesihatan untuk mengambil para pesakit di rumah untuk di bawa ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah
Covid-19 (PKRC).
“Bencana banjir dan peningkatan kes di beberapa negeri juga menyukarkan proses mobilisasi anggota di dalam negeri dan juga di antara negeri.
“Ini menyukarkan usaha menambah bilangan katil
ICU untuk pesakit kritikal,” katanya. – Malaysiapost

