Wanita memandu lawan arus ditahan

0
2

SEORANG wanita ditahan petang semalam, bagi membantu siasatan kes memandu kereta melawan arus di Lebuhraya Senai-Desaru (arah Desaru), berhampiran susur keluar Plaza Tol Cahaya Baru, Masai di Johor Bahru  Khamis lalu. 

Video kejadian tersebut yang dirakam melalui rakaman kamera papan pemuka tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu. 

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, wanita berumur 46 tahun itu ditahan pada jam 6.30 petang, selepas hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam. 

“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor menerima rakaman video tular berdurasi 48 saat pada kira-kira jam 12 tengah hari semalam, berkaitan sebuah kereta dipandu secara berbahaya dengan menyonsang arus. 

“Bertindak atas maklumat, JSPT Johor mengenal pasti butiran kereta terbabit di mana kejadian tersebut dirakam orang awam dipercayai pada kira-kira 4.30 petang, 7 Januari lalu,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Ayob Khan berkata, wanita itu disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000, serta hilang kelayakan lesen memandu tidak melebihi lima tahun, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, polis memandang serius perkara tersebut dan tidak berkompromi, sekali gus akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang sengaja melanggar undnag-undang jalan raya. 

“Polis Johor akan memastikan siasatan dijalankan dengan telus dan tindakan pertuduhan di mahkamah atas kecuaian suspek, yang mana dengan jelas boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain,” katanya. 

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat bagi membantu polis mengesan wanita terbabit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here