Dr Kamarul Zaman Yusoff
AHLI Parlimen Machang merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub memang berani.
Yang Di-Pertuan Agong ketika bertitah sempena pembukaan penggal ketiga Parlimen ke-14 pada 18 Mei 2020 mengingatkan Ahli-Ahli Parlimen begini: “Jangan mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat pandemik Covid-19.”
Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 26 Oktober 2020 juga memutuskan bahawa Umno mendokong sepenuhnya titah dan saranan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar dikendurkan segala ketegangan politik dengan dilakukan gencatan politik bagi memastikan kestabilan politik negara dapat terus dipertahankan.
Tetapi Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berani mengumumkan penarikan sokongan beliau terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang sekali gus berpotensi “mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu” selain berpotensi “menimbulkan ketegangan politik” seperti yang dititahkan oleh Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
(Ini alasan beliau ke atasnya: “Saya sedar apa yang saya buat ini tak menggugat kedudukan kerajaan, tak runtuh kerajaan dan takkan ada PRU kerana Kerajaan Perikatan Nasional masih ada 110 sokongan dan pembangkang 108. Kerajaan masih ada majoriti, cuma ia berkurangan saja.”)
Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 26 Oktober 2020 memutuskan bahawa “Ahli-Ahli Parlimen Umno akan terus mendokong Kerajaan Perikatan Nasional” manakala Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 6 Januari 2021 memutuskan bahawa usul-usul utama yang dibangkitkan oleh Bahagian-Bahagian Umno, yang berkait dengan hubungan dengan parti-parti lain dan kedudukan Umno di dalam Kerajaan Perikatan Nasional, adalah menyentuh soal dasar dan pendekatan asas Umno di mana usul-usul ini hanya akan diputuskan di dalam Perhimpunan Agung Umno pada 31 Januari 2021.
Tetapi Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berani mengumumkan penarikan sokongan beliau terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri tanpa memaklumkan kepada Presiden Umno dan tanpa menunggu mandat daripada Majlis Tertinggi Umno dan Perhimpunan Agung Umno dahulu.
(Ini alasan beliau ke atasnya: “Dan, bagi saya, saya tidak perlu mendapat keputusan Ahli Majlis Tertinggi. Waktu Ahli-Ahli Parlimen Umno BN menyokong Kerajaan Perikatan Nasional pun kita tak dapat pengesahan persetujuan tidak diputuskan oleh Majlis Tertinggi, kita membuat keputusan kemudian diendorse oleh parti, kita buat keputusan dulu bukan keputusan parti baru kita buat, maka hari ini pun perkara yang sama, saya buat keputusan saya akan memaklumkan kepada parti, kepada Presiden Umno yang juga selaku Pengerusi Barisan Nasional.”)
Oleh itu, haruslah diakui bahawa Datuk Ahmad Jazlan Yaakub memang berani. – Malaysiapost
Penulis ialah pensyarah kanan UUM
(Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

