JURUTERBANG pesawat Sriwijaya Air yang dilaporkan terhempas di perairan Kepulauan Seribu di Indonesia, sempat menitipkan pesan kepada rakannya supaya jangan lupa menunaikan solat subuh.
Pesanan itu disampaikan Kapten Afwan kepada Agung Rahmadi menerusi nota tulisan tangan pada hari kejadian.
Menerusi akaun Twitternya, Agung Rahmadi menceritakan Kapten Afwan meminta pengecas telefon bimbit dan berpesan agar solat subuh.
“Waktu itu Afwan meminjam cas di saat aku tertidur di malam hari. Dan menuliskan sebuah surat mengingatkan ku jangan lupa solat subuh,” tulisnya.
Kapten Afwan antara mangsa yang terlibat dan belum ditemui dalam tragedi nahas pesawat di Indonesia, semalam.
Sementara itu menurut jpnn.com, wakil keluarga Kapten Afwan, Muhammad Akbar berkata, isterinya memberitahu selama 15 tahun mereka berkahwin, dia tidak pernah lupa mengosok baju seragam.
Namun semalam dia pergi tanpa menggosok bajunya terlebih dahulu.
“Semalam isterinya cerita bahawa ini adalah kali pertama dalam 15 tahun, suaminya pergi tergesa-gesa dan tanpa diseterika bajunya,” katanya.
Muhammad Akbar berkata lagi, setelah sampai di lapangan terbang, Kapten Afwan melakukan panggilan video kepada anaknya.
“Ini hal yang tak lazim dilakukan oleh beliau. Biasanya setiap kali mendarat, Kapten Afwan selalu telefon isterinya tapi sampai waktu ‘landing’ ternyata tidak ada khabarnya hingga sekarang,” katanya.
Malah, sebelum bertolak ke tempat kerja, Kapten Afwan turut meminta maaf kepada isterinya.
Dia juga selalu memakai kopiah putih setiap kali mengendalikan penerbangan.
Terdapat 56 penumpang di dalam pesawat tersebut iaitu 46 dewasa, tujuh kanak-kanak, dan tiga bayi selain dua juruterbang iaitu Kapten Afwan dan pembantunya, Fadly Satrianto dan empat kru.
Pesawat Sriwijaya Air SJ 182 perjalanan dari Jakarta ke Pontianak hilang dari radar jam 2.40 waktu Indonesia Barat semalam dan terhempas di perairan Kepulauan Seribu di antara Pulau Lancang dan Pulau Laki, Kepulauan Seribu. – Malaysiapost

