Tindakan saya tidak gugat pentadbiran kerajaan – Ahmad Jazlan

0
1

AHLI Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang mengumumkan tidak lagi menyokong Perikatan Nasional (PN) hari ini, mengakui tindakannya itu tidak akan menggugat kedudukan dan pentadbiran kerajaan.

Katanya, beliau membuat keputusan itu tanpa desakan mana-mana pihak, apatah lagi pucuk pimpinan UMNO.

“Keputusan saya menarik sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibuat tanpa desakan mana-mana pihak. 

“Keputusan ini dibuat atas dasar memperjuangkan prinsip parti serta maruah Barisan Nasional (BN), bukan kepentingan peribadi. 

“Saya sedar dan sekali lagi saya sebut apa yang saya buat ini tidak akan sekali-kali menggugat kedudukan kerajaan dan tidak akan meruntuhkan kerajaan kerana masih mempunyai 110 sokongan Ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media di pejabat Perhubungan Umno Kelantan, di Kota Bahru, hari ini. 

Ahmad Jazlan turut melepaskan jawatan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Isnin lalu.

Menurutnya, tindakannya itu juga tidak akan ada Pilihan Raya Umum kerana pembangkang ketika ini mempunyai 108 kerusi dan PN masih mempunyai majoriti dua lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu menegaskan, beliau tidak akan sekali-kali menarik semula keputusan dibuatnya walaupun ada tohmahan dibuat terhadapnya.

Ahmad Jazlan bagaimanapun, berharap kerajaan PN dan UMNO menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

Bahkan, beliau memberi jaminan akan menyokong sebarang rang undang-undang dibentangkan di Parlimen pada Mac ini, sekiranya ia memberi kepentingan kepada rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here