KESELURUHAN sebanyak 2,451 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini 133,559 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes itu menjadikan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 26,185 kes.
Menurutnya, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu 564 kes atau 23 peratus daripada jumlah kes hari ini.
“Daripada jumlah itu, 342 kes (60.6 peratus) adalah daripada kluster sedia ada dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
“Sabah pula 409 kes baharu (16.7 peratus) dan Negeri Sembilan mencatatkan 351 kes (14.3 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 327 kes (13.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah kluster dalam lokap, Depot Tahanan Imigresen dan penjara membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (291 kes), Kluster Telok Mas (17 kes), Kluster Tembok Gajah (9 kes), Kluster Damai Pelangi (8 kes), Kluster Pagar Siput (1 kes) dan Kluster Tembok Choh (1 kes).
Dr Noor Hisham Beliau berkata, lima kluster Covid-19 lagi dikesan hari ini, membabitkan saringan di tempat kerja, individu bergejala dan aktiviti rentas negeri.
“Lima kluster itu ialah kluster pertama membabitkan daerah Johor Bahru, Kulai, Pontian dan Kota Tinggi yang dinamakan Kluster Mikro, yang dikesan hasil saringan bersasar di sebuah kilang dan sehingga kini sudah menjangkiti 97 individu.
“Kluster kedua dikesan di daerah Timur Laut dan Seberang Perai Utara di Pulau Pinang yang dikenali sebagai Kluster Symphony Magazine dan sudah menjangkiti 44 individu.
“Bagi kluster ketiga, dikenali sebagai Kluster Pasai membabitkan daerah Sibu dan Mukah di Sarawak. Kluster ini dikesan hasil saringan rentas negeri dan sudah menjangkiti 38 individu,” katanya.
Beliau berkata, kluster keempat pula dikesan di Melaka Tengah yang dinamakan sebagai Kluster Teknologi Kesidang dan kini sudah menjangkiti 18 individu.
“Kluster kelima pula dikesan di Dungun, Terengganu yang dinamakan Kluster Palut dan telah menjangkiti 10 individu,” katanya – Malaysiapost

