MKT Umno setuju putuskan kerjasama dengan Bersatu – Zahid

0
1

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno telah bersetuju dengan usul untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata, keputusan muktamad atau keabsahan berhubung usul tersebut akan diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 31 Januari ini, lapor Astro Awani.

Katanya, perkara itu antara usul diterima dalam Mesyuarat MKT pada 6 Januari lalu dan ia akan dimasukkan sebagai usul dalam ucapan dasar Presiden pada PAU nanti.

“Usul itu (menolak kerjasama dengan Bersatu) telah dibawa ke Mesyuarat MKT pada 6 Januari lalu dan kita memutuskan untuk menerima usul-usul itu dan akan melakukan keabsahan pada 31 Januari ini dalam Perhimpunan Agung Umno.

“Setakat ini keputusan MKT adalah menolak (Bersatu), tetapi keputusan terakhir yang saya katakan keabsahan itu adalah pada 31 Januari, yang akan dimasukkan dalam usul ucapan dasar Presiden Umno,” katanya selepas pertemuan dengan kepimpinan Umno Kedah, di Alor Setar hari ini.

Mengenai pertemuan itu, Ahmad Zahid berkata, ia bagi menggantikan konvensyen yang diadakan di setiap negeri menjelang PAU seperti sebelum ini.

Dalam pertemuan itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengingatkan kepimpinan dan akar umbi Umno agar memperkukuh kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN).

Katanya, MN wajar dijadikan wadah penyatuan khususnya dalam menghadapi PRU15 yang dijangka diadakan dalam masa terdekat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here