INSIDEN seorang suami lemas selepas menyelamatkan isterinya yang terperangkap dalam kereta ketika dihanyutkan arus deras banjir di Batu 18, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kahang, Johor minggu lalu turut mendapat perhatian Ustaz Ebit Lew.
Pendakwah terkenal itu sayu mendengar cerita mengenai kejadian itu dan berkesempatan menziarah keluarga mangsa di Batu Pahat semalam.
“Sayu hati bila dengar saat banjir di Johor seorang suami menyelamatkan isteri yang hamil enam bulan dengan memecahkan cermin kereta ketika kenderaan itu hanyut dibawa arus deras.
“Baru berkahwin enam bulan. Ujian besar buat keluarga.
“Terus ke Simpang Kanan, Batu Pahat, ziarah rumah keluarga arwah Md Rajihan Junaidi,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Beliau bertemu isteri mangsa, Khairunnisa Ibrahim, 24, dan kedua ibu bapanya serta berkongsi doa dan kata-kata nasihat untuk memberi semangat kepada keluarga.
“Meninggal lemas mendapat pahala syahid. Saat akhir berusaha sedaya mungkin menyelamatkan isteri. Berjuang berkorban,” katanya.
Ebit turut berkongsi keadaan isteri mangsa yang masih teringat saat dengan suami waktu kejadian.
“Suaminya pecahkan cermin dengan kaki. Bantu isteri hingga dapat memegang pagar dawai sebelum diselamatkan.
“Semoga Allah hadiahkan syurga Firdaus buat Md Rajihan dan beri kekuatan kepada Khairunnisa dan ibu bapa arwah serta semua ahli keluarga,” katanya yang turut memberi sumbangan bagi meringankan beban keluarga mangsa.
Dalam kejadian 2 Januari lalu, Md Rajihan, 28, bersama isterinya menaiki kereta Proton Waja meredah jalan yang dinaiki banjir sebelum kereta dihanyutkan arus deras.
Md Rajihan bagaimanapun, sempat memecahkan cermin kereta untuk menyelamatkan isterinya sebelum dia hanyut dibawa arus bersama kereta dan mayatnya hanya ditemui beberapa hari kemudian – Malaysiapost





