TDM bina jambatan bailey di Kampung Lechar, Raub

0
1

Nurul Huda Abhar

BANJIR yang melanda Pantai Timur, Johor dan Perak sejak 3 Januari lalu mengakibatkan banyak kerosakan, dan kerugian harta benda termasuk meragut nyawa manusia.

Beberapa daerah di Pantai Timur masih ditenggelami air, malah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di beberapa daerah di kawasan itu beroperasi sebagai kediaman sementara, oleh kerana kediaman mereka rosak teruk akibat dilanda banjir.

Perkongsian di media sosial banyak menunjukkan jalan raya mengalami kerosakan teruk akibat dinaiki air, dan apabila air telah surut keadaan jalan itu tidak lagi selamat untuk digunakan.

Ianya termasuk beberapa jambatan yang menjadi penghubung kawasan penempatan dengan jalan raya utama juga rosak, dan menyukarkan pergerakan agihan bantuan.

Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui 91 Rejimen Bantuan, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) sedang melaksanakan pembinaan jambatan di Kampung Lechar, Raub, Pahang bermula awal pagi 7 Januari.

Seramai dua pegawai dan 31 anggota RAJD terlibat dalam melaksanakan pemasangan jambatan tersebut dengan diketuai oleh Ketua Skuadron Bina, 91 Rejimen Bantuan RAJD, Leftenan Kolonel Norhejeri bin Shamsudin.

Pembinaan jambatan tersebut akan menghubungkan semula jalan di antara Perumahan Makmur Lechar dan Perumahan Kos Rendah Kampung Lechar dengan Pekan Ulu Dong serta Bandar Raub yang mana ianya akan memberi manfaat kepada lebih 500 penduduk yang terjejas sebelum ini.

Difahamkan, struktur jambatan sedia ada telah runtuh pada 3 Januari 21 disebabkan daripada hakisan tanah akibat arus deras Sungai Dong.

Jambatan yang dibina adalah sepanjang 24 meter dan lebar 7.35 m (2 lorong) yang mengambil masa pembinaan lebih kurang 8 ke 15 jam.

Jambatan Compact Bailey 200 adalah jambatan yang dibekalkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada Tentera Darat Malaysia secara gunasama.

Walaupun keadaan jalan yang sempit dan tidak rata serta berbukit, Trup masih mampu melaksanakan proses pemasangan berdasarkan perancangan yang ditetapkan.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan aturgerak anggota dan aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA ) di negeri-negeri yang terjejas banjir melalui pelaksanaan Op Murni.

Seramai 4,983 pegawai dan anggota ATM serta pelbagai aset termasuk 800 trak, 197 bot, dua pesawat pengangkut, enam helikopter serta 10 jambatan bailey telah dan akan diaturgerak. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here