BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa tiada pelaburan signifikan dibawa masuk ke negara ini selepas kejatuhan Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan
Menerusi satu hantaran Facebook miliknya, Najib berkata, kali terakhir syarikat besar melabur adalah pada 2016 dan 2017 dengan membuka ibu pejabat rantau Asia Tenggara di Malaysia.
“Kali terakhir Malaysia menerima pelaburan signifikan dari industri automotif ialah pada 2016 dan 2017 apabila Geely dan Volvo membuka ibu pejabat untuk rantau Asean di negara kita,” katanya.
Tambah menyedihkan, Najib berkata, syarikat asing kini bukan sahaja tidak melabur di Malaysia, malah telah memindahkan operasi perdagangan mereka ke negara jiran.
“2015 Hyundai buka ibu pejabat dan pusat latihan Asia Pasifik bagi 33 buah negara di Kuala Lumpur.
“2021 Hyundai pindah ibu pejabat Asia Pasifik ke Indonesia. Semua staf di Malaysia hilang kerja,” katanya lagi.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, susulan perkembangan itu, Indonesia telah mendapat manfaat besar daripada pelaburan asing tahun lalu.
“Tahun lepas, Indonesia tarik pelaburan asing yang amat besar dari industri automotif.
“Hyundai RM4.02 bilion, Toyota RM8.04 bilion, syarikat bateri CATL RM20.09 bilion dan syarikat LG Chem RM39.37 bilion.
“Malaysia tidak dapat satu sen pun,” katanya. -Malaysiapost

