Saiful Bukhari kini ahli Bersatu

0
1

SELEPAS 12 tahun berada dalam kancah politik negara tanpa menyertai mana-mana parti, Saiful Bukhari Azlan, 36, hari ini memilih untuk menganggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bekas pembantu peribadi kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, berkata dia membuat keputusan itu selepas memikirkan wadah politik yang selari dengan prinsip dan dirasakan sesuai dengan dirinya.

“Tahun Baru 2021: Bermula wadah politik pertama saya. Setelah dua bulan beristikharah, mengumpul pendapat, memikirkan wadah politik yang selari dengan prinsip, dan dirasakan sesuai, saya dengan rendah diri mengumumkan memilih menganggotai Bersatu sebagai parti atau wadah politik pertama saya.

“Alhamdulillah, permohonan keahlian saya diluluskan semalam, dan saya memilih untuk menjadi ahli di Bahagian Bentong, Pahang kerana kampung bapa saya di Janda Baik,” katanya yang dikongsi di laman Facebooknya hari ini.

Menurutnya, penyertaan dalam parti politik itu selaras dengan Perkara 10 Perlembangaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan bagi setiap warganegara.

“Bak kata pepatah, ‘alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’.

“Setelah 12 tahun berada dalam kancah politik negara dengan tidak berparti, pada hemat saya, sudah tiba masanya saya memilih satu wadah politik, menjadi ahli secara rasmi.

“Bukan untuk agenda peribadi, tetapi bagi meneruskan perjuangan pada agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Saiful Bukhari berkata, adalah lebih afdal bergerak secara berjemaah, dari bergerak secara solo kerana lebih banyak ilmu dan pengalaman boleh diperoleh, serta berpeluang mencurah bakti pada masyarakat melalui aktiviti parti.

“Terima kasih pada sahabat, rakan-rakan, dan parti-parti lain yang telah mengundang saya sebelum ini. Harap tidak berkecil hati. Tidak sertai parti yang di undang, tidak bermakna saya tidak berminat.

“Politik wajar dijadikan wadah penyatuan, bukan wadah perpecahan. Prinsip saya, walau berlainan parti, ideologi politik, saudara tetap saudara, kawan tetap kawan. Silaturrahim wajib di jaga, ia lebih penting dari segalanya,” katanya.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada Bersatu kerana sudi menerima dan meluluskan permohonan keahliannya serta berjanji memberi taat setia pada parti dan pucuk pimpinan dalam mendukung matlamat tujuan parti. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here