Nurul Huda Abhar
PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir memaklumkan urusan permohonan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sudah bercampur dengan ‘tangan-tangan’ politik.
Beliau berkata, penolakan permohonan pendaftaran Pejuang berlaku kerana proses pentadbiran sudah menjadi perkara politik melebihi peruntukkan undang-undang
“Saya jelaskan di sini setiausaha (parti) kerap berjumpa dengan ROS. Kali terakhir berjumpa, ROS telah beritahu secara lisan bahawa semuanya okay dan boleh dilulus tetapi akan rujuk permohonan ini kepada menteri.
“Mengikut undang-undang ROS berhak untuk buat keputusan sama ada menolak atau mendaftar. Bagaimanapun ROS berkata walaupun semuanya baik ROS kena rujuk kepada menteri.
“Kenapa perlu rujuk kepada menteri dan bukan diwajibkan mengikut undang-undang,” katanya ketika sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Presint 8, Putrajaya petang tadi.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah menjelaskan parti itu telah menghantar permohonan pada 19 Ogos 2020 secara kendiri dan dalam talian sebelum berhubung dengan ROS bagi mendapat maklum balas.
Tambah Amiruddin, pada 28 September 2020 pihaknya diberi tarikh temu janji untuk berjumpa Ketua Pengarah dan pegawai jabatan tersebut.
Katanya lagi, semasa sesi perjumpaan itu pejuang dimaklumkan dengan beberapa permintaan daripada ROS untuk dibuat beberapa pindaan kepada perlembagaan.
“Kita (Pejuang) buat setelah diminta, kita telah berbincang dan kemukakan permohonan tersebut. Kemudian kita tunggu lagi dan tiada respon daripada ROS sehingga 22 Oktober 2020, kita menulis kepada Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap ROS untuk menyatakan tentang tiada respon mengenai permohonan kita.
“Selepas itu terus menyepi, tak dapat apa-apa jawapan sehingga kita ambil keputusan untuk mendapatkan semakan kehakiman bagi keputusan terhadap permohonan ini.
“Dalam kes ini kita sedang berusaha dapatkan jawapan. Jabatan kehakiman maklumkan bahawa affidavit daripada pihak mereka (ROS) juga tidak dibuat,” katanya.
Amiruddin menambah, pihaknya mendapat emel menyatakan permohonan pendaftaran Pejuang ditolak oleh ROS.
Beliau berkata, alasan ROS adalah permohanan Pejuang tidak teratur selaras dengan Jadual 1, dan ditolak berdasarkan peruntukkan Seksyen 73(e) Akta 335.
“Kita telah semakan Jadual 1 dan kita dapati kita telah penuhi semua yang ditetapkan dalam Jadual 1 tersebut.
“Bahkan kita telah bersemuka dengan pihak ROS dan mereka sendiri dan kemukakan beberapa cadangan dan perubahan.
“Kita ikut dan kita buat perubahan tersebut. Kita hantar permohonan itu, dan ini yang kita dapat daripada permohonan itu,” katanya.
Terdahulu, ROS dilaporkan menolak pendaftaran parti Pejuang pimpinan Dr Mahathir, dan surat berkaitan penolakan permohonan berkenaan telah dihantar semalam.
Perkara itu disahkan oleh peguam Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mengatakan bahawa mereka menerima surat dari ROS pada jam 5.45 petang semalam.- Malaysiapost

