ATOMY Co Ltd diakui terlibat dengan aktiviti Kristianisasi.
Itu antara kenyataan yang dikeluarkan secara bersama hasil muzakarah antara Dr Tengku Asmadi Atomy Team (DTAAT) dan Multiracial Reverted Muslim (MRM).
Semalam, kedua-dua pihak berkenaan mencapai kata sepakat berhubung isu Atomy Malaysia Sdn Bhd yang dikaitkan dengan gerakan kristianisasi.
Ketua DTAAT, Tengku Asmadi Tengku Mohamad berkata, selepas lebih tiga jam muzakarah bersama MRM yang diketuai Pendakwah bebas, Firdaus Wong yang mana kedua-dua pihak mencapai kesepakatan dalam beberapa perkara.
Katanya, hasil perbincangan itu kedua-dua pihak secara bersama mengeluarkan kenyataan berhubung isu kontroversi berkenaan.
“Kenyataan bersama saya sebagai leader Atomy dengan saudara saya Ustaz Firdaus Wong Wai Hung.
“Mohon komen yang baik-baik. Tiada lagi provokasi. Saling menghormati sesama Islam.
“Maaf jika ada komen yang tidak sesuai kami akan padam. Utamakan kesejahteraan ummah,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi di Facebooknya dan Ustaz Firdaus Wong.
Dalam kenyataan itu enam kesepakatan digariskan kedua-dua pihak hasil daripada muzakarah berkenaan.
- Bersetuju bermuamalah dengan Belum Muslim (bukan Islam) adalah harus.
- Bersetuju bahawa Atomy Malaysia Sdn Bhd adalah dimiliki 100 peratus oleh Atomy Co. Ltd
- Atomy Co Ltd terlibat dengan aktiviti kristianisasi.
- Manakala, berkenaan pengunaan produk Atomy, jikalau produknya halal maka halal akan penggunaannya dan jika sistemnya patuh syariah, maka halal pendapatannya, sehinggalah diputuskan oleh pihak berautoriti dan berharap agar mufti-mufti dan institusi berautoriti dapat mengeluarkan fatwa tentang isu ini.
- Sepakat bahawa sama ada untuk terlibat dalam bisnes Atomy atau sebaliknya adalah pilihan individu muslim dan semua tetap saudara Islam tanpa ada unsur provokasi mahupun saling melabel sesama sendiri serta perlu saling menghormati pilihan masing-masing. Semua yang beriman itu bersaudara!
- Memahami bahawa semua ahli Atomy Malaysia tertakluk kepada polisi Atomy Malaysia iaitu Atomy Code of Ethic (section 17) dan Atomy Code of Ethics (section 18). Rujukan: website rasmi Atomy Malaysia.
Sebelum ini, MRM dilaporkan mendedahkan bahawa Atomy adalah sebuah pertubuhan perniagaa yang secara terang-terangan menyokong usaha-usaha Kristianisasi.
Difahamkan, pendedahan itu dibuat melalui bukti yang diperolehi daripada pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia sehingga kepada anugerah yg pernah dimenangi oleh
Syarikat itu. -Malaysiapost

