Noraini tetap pertahankan jawatan menteri, demi rakyat

0
1

KOMITMEN dan tanggungjawab sebagai anggota pentadbiran kerajaan akan terus dipertahankan, kata Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Pendirian beliau itu dilihat tidak senada dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin yang bersedia melepaskan jawatan sebagai menteri jika Umno mahukan semua menteri dalam kalangan parti itu berbuat demikian.

Menteri Pengajian Tinggi itu berkata, komitmen tersebut penting agar jentera kerajaan dapat berjalan dengan baik.

“Ia demi menjaga kepentingan rakyat, memulihkan ekonomi negara dan memastikan situasi pandemik Covid-19 berada dalam kawalan.

“Kepentingan rakyat dan negara perlu diberi keutamaan,” katanya seperti Utusan Malaysia.

Kemelut politik Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin tegang selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno malam tadi bersetuju untuk membawa usul majoriti perwakilan bahagian yang menolak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Bersatu bagi menghadapi PRU-15 pada Perhimpunan Agung Umno.

MKT juga sebulat suara memperhalusi semua usul yang dibangkitkan oleh 189 bahagian Umno yang telah bersidang selama tiga hari baru-baru ini di seluruh negara antaranya mempertahankan hubungan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN).

Dilaporkan, sejumlah 189 daripada 191 bahagian Umno di seluruh negara menolak sebarang bentuk kerjasama dengan PN dalam PRU-15 bagaimanapun, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak 143 daripada 191 bahagian parti (74.8 peratus) enggan bekerjasama. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here