SERAMAI 393 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata polis menerusi Task Force Operasi Pematuhan telah mengenakan kompaun terhadap 373 individu manakala 21 telah direman.
Katanya, antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan dengan 195 kes, tidak memakai pelitup muka (89), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (70), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (30) dan lain-lain kesalahan tiga kes.
“Semalam (6 Januari 2021), Operasi Benteng telah berjaya menahan 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 2 tekong serta merampas 7 buah kenderaan darat
“Sebanyak 111 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.
Katanya, agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.
Sementara itu, Ismail Sabri turut memaklumkan, anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah melakukan pemeriksaan di 22 tapak binaan di seluruh Malaysia semalam dan mendapati semua tapak binaan telah mematuhi SOP yang ditetapkan. -Malaysiapost

