PAS tidak akan berasa kecil hati terhadap usul dikemukakan Umno negeri untuk mengkaji semula kerjasama yang terbentuk antara kedua-dua parti itu dalam Muafakat Nasional (MN)
Timbalan Mursyidul Amnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, PAS bersedia berdepan apa sahaja kemungkinan dan setiap keputusan atau arahan pucuk pimpinan berhubung perkara itu akan dipatuhi sepenuhnya.
“Tak ada (rasa kecil hati),” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PAS berkecil hati dengan tindakan Umno sebagai sekutu rapatnya yang sama-sama membentuk MN mahu mengkaji semula kerjasama tersebut.
Sebelum ini, Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob memaklumkan12 Umno bahagian di negeri itu sebulat suara mengemukakan tiga usul selepas mengadakan mesyuarat tahunan minggu lalu.
Selain menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Umno bahagian juga mendesak parti mengkaji semula hubungan dengan PAS yang dilihat lebih mengutamakan Perikatan Nasional (PN) berbanding MN.
Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, matlamat yang perlu diutamakan PAS ketika ini adalah membentuk sebuah kerajaan yang bersifat membela rakyat bagi menggantikan Pakatan Harapan (PH).
“Kita sebenarnya bersyukur selepas 22 bulan kerajaan PH perintah negara, dengan keadaan kita lihat memberi kesan amat besar kepada orang Melayu dan kedudukan Islam, bila dapat tukar (kerajaan) ini satu rahmat kepada kita.
“Kena sedar itu matlamat kita, membentuk kerajaan yang membela semula. Itu yang penting,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi ketika ditemui dalam majlis sama berkata, PAS merupakan sebuah parti yang sentiasa cuba menyejukkan kepanasan politik supaya lebih harmoni dan stabil dalam kerajaan PN.
“Jadi walau apa pun kenyataan-kenyataan dikeluarkan, Pas akan tetap berusaha untuk cuba menyatukan pimpinan-pimpinan Melayu-Islam. Ini memang kerja PAS,” katanya. -Malaysiapost

