Nurul Huda Abhar
KERAJAAN mengumumkan aturgerak anggota dan aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA ) di negeri-negeri yang terjejas banjir melalui pelaksanaan Op Murni.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 4,983 pegawai dan anggota ATM serta pelbagai aset termasuk 800 trak, 197 bot, dua pesawat pengangkut, enam helikopter serta 10 bailey bridge telah dan akan diaturgerak.
“Seperti yang saya telah umumkan sebelum ini bahawa kita mempunyai prosedur operasi standard (SOP) Pengurusan Bencana Semasa Pandemik Covid-19 termasuk SOP pengurusan banjir bagi mengelak penularan Covid-19 sewaktu banjir.
“SOP ini merangkumi pengurusan SOP sebelum, SOP semasa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan SOP selepas operasi,”katanya dalam sidang media, hari ini.
Terdahulu, beliau menerusi kenyataan pagi tadi memaklumkan ATM juga akan gerakkan 226 trak satu tan; 538 trak tiga tan; tujuh trak lima tan; 29 buah trak tujuh tan dan 188 buah bot tempur.
Katanya, ATM turut menugaskan dua bot CB 90; tiga Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) dan enam helikopter sebagai persediaan memberi bantuan pemindahan mangsa serta barangan penting yang lain.
Dalam pada itu, beliau berkata SOP pemindahan mangsa banjir akan dilaksanakan dalam operasi berkenaan.
“Kita akan pastikan semua SOP dipatuhi termasuk jumlah mangsa di tempat pemindahan ikut yang tidak terlalu sesak,” katanya. -Malaysiapost

