Banjir: kerajaan umum SOP ketat pengurusan bencana

0
1

Nurul Huda Abhar

MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) Pengurusan Bencana Semasa Pandemik Covid-19.

Peraturan tersebut termasuk pengurusan SOP sebelum, SOP semasa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan SOP selepas operasi.

Pelaksanaan Sebelum Operasi:

  • Memastikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah dikenalpasti dan diwartakan mempunyai fasiliti asas yang berfungsi dengan baik, kondusif dan bersedia, termasuk ruang untuk mangsa berstatus PUS.
  • Setiap PPS perlu dilengkapi Kod QR MySejahtera dan setiap petugas serta mangsa banjir yang terlibat perlu menggunakan aplikasi tersebut.
  • Memastikan kecukupan Personal Protective Equipment (PPE) dan peralatan yang bersesuaian bagi pengendalian operasi.

Pelaksanaan Semasa Operasi dan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS):

  • PPS hendaklah dibuka dikawasan Zon Covid-19 atau PKP yang sama. Sekiranya tidak dapat dielakkan PPS boleh dibuka di zon yang berhampiran.
  • PPS perlu didisinfeksi sebelum menerima mangsa banjir.
  • Proses pemindahan mangsa ke PPS perlu mematuhi Garis Panduan Pengurusan PPS semasa Covid-19 dan mengikut nasihat KKM seperti menjaga penjarakan fizikal serta memakai pelitup muka pada setiap masa.
  • Setiap mangsa yang dipindahkan ke PPS perlu disaring dan kemudian ditempatkan dengan mematuhi aspek penjarakan fizikal.
  • Mangsa juga akan dibekalkan dengan pelitup muka dan dikehendaki memakainya pada setiap masa.
  • Jawatankuasa PPS boleh menempatkan ahli keluarga dalam kubikel yang sama.
  • Bagi mangsa yang bergejala, mereka akan dirujuk ke klinik kesihatan dan kemudian diasingkan di ruang pengasingan khas yang disediakan.
  • Penyediaan makanan dan minuman adalah secara berbungkus (packed meal) dan tidak ada sebarang aktiviti memasak di PPS sepanjang operasi.
  • Aktiviti-aktiviti berkumpulan yang menjejaskan penjarakan fizikal adalah tidak dibenarkan termasuk ziarah antara mangsa.
  • Semua kawasan tertutup di PPS dibiarkan terbuka bagi membolehkan peredaran udara yang mencukupi untuk mengeluarkan partikel yang tercemar.

Pelaksanaan Selepas Operasi:

  • Memastikan langkah wajar diambil ketika proses menghantar pulang mangsa, seperti:
    i. Mangsa dibekalkan dengan pelitup muka dan dikehendaki memakainya pada setiap masa.
    ii. Memastikan penjarakan sosial ketika dalam kenderaan.
    iii. Mangsa bergejala dirujuk ke klinik kesihatan.

Menurut Ismai Sabri, SOP terperinci berkaitan banjir boleh dirujuk di laman sesawang Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, semua mangsa banjir yang terlibat untuk sentiasa mematuhi SOP serta garis panduan yang telah ditetapkan bagi mengelak penularan wabak Covid-19 di musim banjir ini.

“Selain menjaga SOP, saya juga ingin mengingatkan ibu bapa untuk sentiasa mengawasi anak-anak bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini.

“Sentiasa utamakan keselamatan nyawa dan patuhi arahan dari pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here