ANGGOTA Bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki tempatan yang cuba untuk membunuh diri dengan terjun dari tingkat 16 sebuah kondominium di Seksyen 2, Wangsa Maju, Kuala Lumpur hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 11.58 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju telah dikejarkan ke lokasi bagi memberikan bantuan.
“Setibanya di lokasi, anggota bertugas mendapati seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun sedang berdiri di atas bangku di bahagian balkoni tingkat 16 sebuah unit kediaman di kondominium tersebut,” kata kenyataan itu, hari ini.
Katanya, anggota di lokasi kemudiannya mula memujuk mangsa membatalkan niat untuk membunuh diri dan pada pukul 1.30 petang, lelaki berkenaan berjaya dipujuk dengan bantuan unit High Rise Rescue Team (HRRT).
“Lelaki berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya pada pukul 1.39 petang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada masalah peribadi lelaki berkenaan, lapor Kosmo Online.
“Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan cuba membunuh diri selepas dikecewakan oleh teman wanitanya bagaimanapun siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dilakukan,” katanya. -Malaysiapost

