Ali XPDC masuk hospital akibat sesak nafas, komplikasi jantung

0
1

“MOHON doakan saya yang dimasukkan ke hospital. Ada sedikit ujian daripada Allah SWT,” kata vokalis kumpulan rock XPDC.

Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail dimasukkan dimasukkan ke hospital malam semalam akibat sesak nafas selain komplikasi jantung dan darah tinggi .

Dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Shah Alam, Selangor pada tengah malam semalam.

Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abdul Majid berkata, keadaan Ali bertambah pulih.

“Ali dimasukkan ke hospital akibat sesak nafas dan penyakit jantung serta darah tinggi yang dihidapinya.

“Cuma pagi tadi keadaannya bertambah pulih dan bantuan alat pernafasan sudah ditanggalkan. Alhamdulillah dia juga sudah dipindahkan ke unit wad separuh kritikal,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Ayob menambah, penyanyi berusia 53 itu sebenarnya sudah mengalami sakit-sakit sejak beberapa hari lalu tetapi keadaannya ketika itu tidaklah begitu teruk.

“Kalau ada yang masih ingat, Ali pernah disambar api pada bahagian tangan dan muka pada tahun lepas, sejak dari situ, Ali sedikit menyepi. Kemudian sekitar Jun atau Julai tahun lalu dia mula sakit.

“Buat masa sekarang, keadaannya stabil, boleh makan dan bercakap seperti biasa. Cuma dia masih dalam rawatan dan memerlukan sedikit masa untuk benar-benar sembuh,” katanya.

Sementara itu Ali dalam sebuah video yang dirakam Ayob menerusi Facebooknya beberapa jam lalu memohon kemurahan hati semua pihak agar mendoakan kesembuhannya.

“Mohon doakan saya yang dimasukkan ke hospital. Ada sedikit ujian daripada Allah SWT.

“Doa-doa kalian harap dikabulkan dan insya-Allah kembali pulih. Doakan saya supaya segera sembuh,” katanya.

Pada 26 Mac tahun lalu, Ali melecur sebanyak 30 peratus pada bahagian tangan dan muka selepas disambar api ketika sedang membakar sampah di belakang rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Klang, Selangor. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here