Isu Prasarana: Keluarga Tajuddin belum dipanggil SPRM

0
1

KELUARGA kepada Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman belum dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa.

Perkara itu disahkan anaknya, Dr Faizal Tajuddin yang turut memaklumkan bersedia tampil jika dipanggil untuk membantu siasatan.

Faizal berkata, pihaknya difahamkan SPRM hanya melakukan siasatan dan tiada sebarang serbuan dijalankan.

“Setakat ini ahli keluarga tidak dipanggil untuk membantu siasatan dan kami bersedia memberi kerjasama jika diperlukan.

“Tiada apa yang ingin disembunyikan dan jika ada dakwaan buatlah melalui saluran yang betul,” katanya.

Beliau berkata demkian ketika ditemui di lokasi sidang media anjuran Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengenai isu skandal membabitkan Tajuddin dan Prasarana serta syarikat milik keluarga Ahli Parlimen Pasir Salak itu.

Beliau berkata, dakwaan yang dihadapi keluarganya ketika ini lebih kepada salah persepsi oleh beberapa pihak yang kemudian mensensasikannya.

“Saya juga akan meminta peguam untuk meniliti segala tuduhan dan dakwaan ini untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat dakwaan salah guna kuasa membabitkan Tajuddin termasuk isu projek Latitud 8 milik Prasarana yang diberikan kepada syarikat milik ahli keluarganya.

Isu berkenaan timbul apabila Tajuddin didakwa campur tangan dalam usaha bagi Prasarana menamatkan kontrak syarikat milik keluarganya itu dengan pampasan sebanyak RM87 juta.

Bagaimanapun, Tajuddin sudah menjawab mengenai dakwaan terbabit semalam dalam satu sidang media dan memaklumkan Lembaga Pengarah masih meniliti mengenai perkara itu serta tiada sebarang keputusan mengenainya dibuat setakat ini.

Media juga melaporkan beberapa pegawai SPRM hadir ke ibu pejabat Prasarana di Wisma UOA Bangsar bagi menjalankan siasatan berhubung beberapa dakwaan terhadap pengerusi dan syarikat berkaitan kerajaan itu. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here