PENGUGURAN Tan Sri Annuar Musa daripada jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) tidak menjejaskan momentum Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Beliau bagaimanpun tidak menafikan perkara berkenaan boleh menghasilkan ‘tempias’ tersendiri, terutamanya di peringkat akar umbi.
“Tidak dapat dinafikan memang ada sedikit tempiasnya khususnya kepada masyarakat di peringkat akar umbi, tetapi di peringkat kepimpinan saya telah menyatakan bahawa Umno Sabah dan bersama-sama sahabat kita akan sentiasa mempertahankan kerajaan (GRS),” katanya seperti dilapor Astro Awani.
Sementara itu, Bernama melaporkan tiada masalah perebutan atau pembelian ahli dalam parti-parti yang membentuk GRS, kata Bung Moktar.
Beliau berkata, perkara itu tidak timbul kerana negara mengamalkan demokrasi politik.
“Terpulang kepada rakyat untuk pilih parti mana yang mereka mahu, dan tiada isu perebutan atau membeli ahli, bukan senang mahu beli ahli (kerana) mereka tahu mana parti yang mereka mahu pilih.
“Saya minta semua pihak dalam GRS memberi fokus dalam usaha membantu rakyat, ini masa kita membantu rakyat dan jangan lagi kita berlaga-laga pasal keahlian, jangan buang masa untuk fikir masalah yang tidak memberi keuntungan,” katanya.
Terdahulu, jawatan Setiausaha Agung BN yang disandang Annuar dilaporkan diserahkan kepada Datuk Seri Ahmad Maslan.
Perkara itu disahkan salah seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.
“Beliau (Annuar) bukan dipecat tetapi diambil alih Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan yang juga jadi Setiausaha Agung bersama MN (Muafakat Nasional),” katanya.
Difahamkan, keputusan itu dibuat dalam pertemuan khas Ketua Bahagian Umno yang akan diadakan di ibu pejabat Umno di Menara Dato’ Onn, hari ini. -Malaysiapost

