PARTI Amanah Negara (Amanah) mengkrtitik sikap segelintir pemimpin Umno yang mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat tanpa memikirkan keadaan rakyat ketika ini.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin, Ayub berkata pihaknya kesal dengan sikap kepimpinan Umno dalam pentadbiran negara yang melemparkan gertakan ketika negara dilanda krisis Covid-19 menyebabkan rakyat menderita akibat tempias kewangan.
“Ini bukan masanya untuk desak adakan ‘snap election’ dan mendesak meletakkan jawatan sana sini, walhal rakyat akan terus terabai pada akhirnya tanpa pembelaan dalam keadaan Covid-19.
“Ketika ini, bukan masa untuk pilihan raya dan sepatutnya kita bersama-sama melaksanakan agenda rakyat selepas Belanjawan 2021 diluluskan.
“Walaupun saya di pihak pembangkang, marilah kita bersama-sama membantu apa jua program kerajaan yang dirasakan boleh menyelamatkan dan mempertingkatkan ekonomi rakyat,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, tindakan segelintir pemimpin Umno menunjukkan mereka mahu kuasa politik yang bersifat peribadi.
“Sebagai parti tertua di negara ini, Umno tidak boleh tunjuk perangai sedemikian. Sepatutnya mereka pada hari ini mesti menunjukkan contoh kepada parti-parti lain serta tidak ‘haus’ dan ‘lapar’ kuasa,” katanya.
Terdahulu, beliau bersama beberapa pimpinan dan ahli Amanah menyerahkan memorandum di Istana Negara supaya Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) ditubuhkan menyiasat keseluruhan isu kartel daging import yang merupakan isu kritikal umat Islam negara ini. -Malaysiapost

