Muhammad Mustakim Ramli
JANGAN biarkan i-Sinar jadi i-malap, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
Menerusi hantaran di Facebook, Najib berkata, beliau membaca reaksi rakyat di media berhubung status permohonan pengeluaran i-Sinar menerusi Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hari ini.
Katanya, ada yang gembira dan ramai juga melahirkan kekecewaan.
“Walaupun ketua kerajaan beritahu saya bahawa skim i-Sinar sudah elok dan suruh saya henti tekan kerajaan untuk hal ini, saya tetap mahu kerajaan hapuskan segala syarat pengeluaran dengan segera.
“Buatlah macam i-lestari. Siapa yang rasa mereka ada keperluan, biarlah mereka keluarkan sedikit duit jika mereka masih ada baki dalam akaun,” katanya.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata rakyat bukannya mahu keluarkan semua wang mereka di KWSP sebaliknya hanya RM10,000.
“Rakyat lebih mengetahui situasi sebenar mereka dan rakyat lebih yakin bahawa duit yang dikeluarkan hari ini dapat dipulihkan dalam masa terdekat apabila keadaan ekonomi menjadi baik.
“Maka, percayalah rakyat sebab ini memang duit mereka,” katanya.
Terdahulu, Pemuda Umno mendakwa banyak menerima keluhan rakyat yang hampa kerana permohonan ditolak KWSP.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya hairan dengan janji KWSP dan kerajaan yang sebelum ini untuk mempermudahkan urusan rakyat mengeluarkan simpanan mereka sendiri. – Malaysiapost

