AMK gesa Umno lapor SPRM

0
2

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) menggesa Umno membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan ahli parti itu ditawarkan wang untuk menyertai Bersatu.

Pandangan itu disuarakan Ketua AMK, Akmal Nasir dengan alasan demi melihat orang muda mengamalkan budaya politik sihat, berintegriti dan berprinsip.

“AMK menasihatkan agar sebarang dakwaan sogokan perlu dilaporkan segera kepada SPRM tanpa perlu menunggu diugut untuk disaman oleh satu pihak lagi seperti dinyatakan Ketua Penerangan Bersatu.

“Ini selaras perkara 25 (1) Akta SPRM yang menyatakan tentang kewajipan untuk melaporkan transaksi penyogokan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Akmal, AMK tidak berniat mencampuri urusan Umno-Bersatu, tetapi atas rasa tanggungjawab, beliau berpandangan budaya politik seperti itu patut dihindari terutama generasi muda.

“Tiada yang luar biasa bagi parti pengkhianat untuk terus mengkhianati serta melakukan sogokan, dan saya tidak berminat untuk mengulas persengketaan terbuka Umno-Bersatu yang seperti tiada penghujungnya.

“Tambahan pula semua sedia maklum matlamat penubuhan Bersatu sememangnya mahu melemah dan menggantikan Umno.

“Namun apabila melibatkan soal integriti, AMK terpanggil menyatakan pandangan demi tanggungjawab untuk melihat gerakan politik orang muda mempelopori budaya politik berintegriti dan berprinsip, dan terhindar elemen rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Sebelum ini Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa ahli parti itu yang menyertai Bersatu akan dibayar sehingga RM100 dan setiap cawangan yang ditubuh pula diperuntukkan RM3,000 hingga RM5,000.

Berikutan itu Pemuda Umno mendesak Bersatu menghentikan segera sebarang usaha untuk bersaing ahli antara satu sama lain jika mahu meneruskan kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Susulan itu, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata parti itu memandang berat tuduhan Asyraf Wajdi Dusuki dan menuntut beliau memohon maaf serta menarik balik tuduhan tersebut serta-merta. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here