UMNO meletakkan sasaran untuk bertanding sekurang-kurangnya 96 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, mengikut formula awal perundingan, Umno akan kekal bertanding di 55 kerusi yang dimenangi pada PRU lalu manakala PAS 18 dan Bersatu 13 kerusi.
“Itu pandangan saya 96 kerusi, itu kerusi Umno, itu kerusi yang kita susun atur, yang kita menang dan dapat nombor dua (tertinggi undi). Kita dapati ada kerusi-kerusi yang rakan-rakan BN (Barisan Nasional) mereka tak pernah menang, kerana pengundi di situ mahu calon Melayu misalnya.
“Dalam PRU15, kita nak menang, mesti menang untuk tubuhkan kerajaan bukan kerusi untuk bermegah, mesti diteliti setiap kerusi, geopolitik, kehendak peengundi dan lokaliti.
“Secara dasarnya komponen BN pun bersetuju dan mereka terima hakikat, kita nak menang, sudah menang esok, kita boleh lantik Senator sebagai menteri, tiada isu,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Rembau, hari ini.
Mengulas mengenai banyak bahagian Umno yang menolak bekerjasama dengan Bersatu, Ketua Umno Bahagian Rembau itu berkata parti itu perlu membina kekuatannya sendiri namun tidak perlu sampai menolak kerjasama dengan Bersatu.
“Kita akan letakkan kita punya kehendak, kalau andai kata semua bersetuju mengapa tidak, lebih ramai lebih baik, kalau bersama lagi kuat, daripada kita terang-terang terus menolak.
“Berfikir biar panjang, bertindak biar bijak, fikir panjang-panjang buruk baiknya, memang semangat bahagian nak menolak, masing-masing cemburu hati sebab semua nampak mahu bertanding nak jadi calon,” katanya.
Katanya, sememangnya dalam perundingan kerusi Ahli Parlimen yang keluar Umno akan dijadikan sebagai kerusi Umno. – Malaysiapost

