Bersatu akan guna pelbagai kaedah pancing ahli Umno – Tajuddin

0
2

PENGARAH Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa Bersatu akan menggunakan pelbagai kaedah untuk memancing ahli Umno menyertai parti berkenaan, termasuk menawarkan wang ringgit, pengaruh dan kedudukan.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, ia berlaku kerana Bersatu tidak dapat mengelak untuk bertembung dengan Umno menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Dalam menghadapi PRU15, Bersatu akan bertanding melawan kita, mereka ada duit, ada pengaruh, ada pangkat, mereka ada semua dan semua ini akan dijadikan umpan untuk tarik ahli Umno semua peringkat.

“Peringkat yang di atas ditawarkan jawatan menteri, timbalan menteri, sebab itu sebelum ini ada yang melompat,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia ketika merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Pasir Salak, hari ini.

Tajuddin berkata, ketika ini pun sudah ada beberapa cubaan membeli ahli Umno dengan memberi projek, duit dan beberapa tawaran selain Bersatu juga dilihat cuba mengganggu gugat Umno dari akar umbi.

“Ketika ini mereka bukan hanya nak besarkan parti mereka tetapi juga melemahkan Umno, sebab itu kita ambil ketetapan kerjasama Umno dan Bersatu akan tamat apabila pilihan raya umum dipanggil semula,” katanya.

Tajuddin berkata, meskipun sudah memberikan sokongan, Umno tidak diiktiraf dan tidak dilihat sebagai parti yang mempunyai sokongan yang besar kepada kerajaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here