Umno perlu bina jajaran politik baharu, bergabung dengan musuh tradisi

0
1

UMNO sebagai parti yang berpengalaman sepatutnya telah memulakan usaha untuk membina jajaran baharu dengan parti yang mempunyai kerusi Parlimen terbanyak.

Perkara itu disarankan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo yang menyifatkan Umno melakukan kesilapan kerana membentuk kerajaan dengan parti kecil bilangan kerusi Parlimen seperti Bersatu, PAS dan kumpulan lompat parti.

“Apa pun rakyat tetap menyalahkan Umno kerana tanpa Umno kerajaan yang sangat lemah ini tidak terbentuk.

“Hari ini parti besar (Umno) ini pula dalam situasi hidung tak macung, pipi pula yang disorong-sorong. Orang dah tak mahu kita pula terlebih meminta.

“Maruah Umno sudah hilang jangan pula harga perjuangan yang bersisa ini kita gadaikan.

“Lebih mulia untuk Umno membina jajaran politik baharu dari dihina dan dianggap hidung tak mancung pipi pula yang kita sorong,” katanya menerusi catatan di Facebooknya hari ini.

Dr Mohamad Khir berkata, walaupun Umno mungkin disalah erti kerana bergabung dengan musuh tradisi, tetapi yang penting parti itu masih punya harga diri.

“Jika kerajaan baharu melalui pembentukan jajaran baharu ini ternyata stabil dan berjaya membawa negara keluar dari situasi yang sangat mendesak dan bahaya ini, tuduhan khianat perjuangan itu akan lenyap dengan sendirinya.

“Dan Umno akan tetap dilihat bermaruah sebagai parti yang membela rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata realiti politik hari ini kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah kerajaan yang sangat lemah dan keadaan itu tidak memberi sebarang kebaikan kepada masa depan negara.

Katanya, kerajaan yang memimpin negara ini mesti kuat dan dapat keyakinan dari pelabur luar dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah jalan keluar terakhir.

Bagaimanapun, katanya, jika pun diadakan PRU15 dalam waktu terdekat dengan situasi politik sangat tidak stabil, ia akan menghasil keputusan sama seperti PRU lalu iaitu tiada parti menang besar dan mampu tubuh kerajaan baharu tanpa berkongsi kuasa dengan parti lain.

“PRU itu tidak akan selesaikan masalah kepimpinan, dan kerajaan yg dibentuk sama saja seperti yang ada hari ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here