UMNO mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dengan segera bagi mengembalikan mandat rakyat dalam pembentukan kerajaan baharu.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu perlu dilaksanakan dengan mengambil contoh negara luar yang melakukan pilihan raya dalam situasi pandemik wabak itu.
Bagaimanapun, katanya, prosedur operasi standard (SOP) perlu diutamakan bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
“Kita menunggu agar mandat rakyat segera dikembalikan dan rakyat juga rindu kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk menjadi kerajaan semula. Umno mengambil keputusan pilihan raya disegerakan.
“Lebih 30 negara mengadakan pilihan raya ketika Covid-19 melanda negara (jadi) kenapa Malaysia saja takut… takut Covid-19 ke takut benda lain?
“Kita akur penularan Covid-19 (mesti diputuskan dan sebab itu) SOP harus dipatuhi,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Beliau berkata, Umno juga tekad merampas semula kerusi yang dimenangi parti itu di setiap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU-14 lalu pada PRU-15 nanti.
“Setiap kerusi Umno dan BN sama ada Parlimen dan DUN yang kita menang pada PRU lalu, wajib kita ambil dan takluki semula kerana kerusi itu Umno punya sebelum ini.
“Kita akan menggunakan lambang BN dan tidak akan menggunakan lambang parti lain, terserahlah kepada parti lain (jika) menggunakan lambang mereka sendiri atau lambang sahabat baharu mereka,” katanya.
Katanya, semua kepimpinan dan ahli Umno juga perlu bersiap siaga menghadapi PRU-15 biarpun pelaksanaannya belum ditentukan. -Malaysiapost

