Kerajaan akan tumbang selepas PRU-15 tanpa dokongan MN, Sabah dan Sarawak

0
2

Oleh Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar

[Sudut Pandang] 22 bulan negara di bawah Pakatan Harapan (PH), yang umum orang Melayu menganggapnya kerajaan di bawah telunjuk DAP.

Terbukti, kerana banyak keputusan dan tindakan oleh Menteri Kewangan dan kerajaan PH yang mencetus kemarahan orang Melayu.

Atas landasan objektif politik yang sama untuk menjatuhkan PH dan DAP dari berkuasa, dua parti politik terbesar orang Melayu, Umno dan PAS, yang bermusuhan sejak merdeka, akhirnya pada 20 September 2018, duduk semeja di PWTC dengan titisan air mata, menandatangani Piagam Muafakat Nasional (MN).

Saya masih ingat melihat dua Setiausaha Agung parti besar orang Melayu, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Takiyuddin Hasan mewakili parti masing-masing menandatangani dokumen bersejarah yang menandakan perpaduan politik ummah di bumi Malaysia.

Rakyat tidak terfikir kesepakatan politik Umno-PAS akhirnya menjadi kenyataan. Semuanya kehendak dan ketentuan dari Allah Yang Maha Berkuasa.

Atas rahmat keberkatan Allah, penyatuan dua seteru politik Melayu berlaku. Hakikatnya, bangsa Melayu telah lama menantikan saat itu.

Kezahiran Muafakat Nasional boleh mencetus banyak kebaikan dan manfaat kepada politik bangsa Melayu di negara ini. Alhamdulillah, akhirnya ia berlaku.

Dua parti Melayu bersumpah untuk bekerjasama mempertahankan kuasa yang sepatutnya menjadi milik bangsa, selaku kaum majoriti di bumi ini.

Pada 20 September 2018, MN bersumpah kepada orang Melayu untuk bersama pertahankan kepentingan bangsa dan agama Islam demi negara yang tercinta.

Peristiwa bersejarah itu membuat ramai Melayu mengalirkan air mata kesyukuran.

Percaturan Allah tidak dapat diduga. Genap 17 bulan dari tarikh penubuhan Muafakat Nasional, tanpa peti undi dan penggunaan wang rakyat untuk urusan PRU, pada 20 Februari 2020, Perdana Menteri ke-7 meletak jawatan, PH tumbang, negara tiada kerajaan.

Doa umat Islam untuk kezahiran sebuah pemerintahan dominan pribumi (PDP) termakbul.

Dengan dokongan Muafakat Nasional, BN dan GPS, Tan Sri Muhyiddin dengan mempunyai jumlah sokongan yang cukup untuk meyakinkan YDP Agong untuk dilantik sebagai PM ke-8.

Tertakluk kepada Perkara 43 Fasal (2)(a) Perlembagaan Persekutuan, beliau ialah Perdana Menteri yang sah.
Persoalan tentang keabsahan beliau sebagai PM yang sah tidak berbangkit sama sekali.

Rahmat percaturan dari Allah. Dalam kemelut politik yang berlarutan, sebuah kerajaan dominan Melayu Islam akhirnya lahir pada masa di mana pandemik Covid-19 menyerang negara. Kita perlu bersyukur.

Kenapa kebelakangan ini ada pihak-pihak ‘yang mudah lupa’ yang kemarut dengan kuasa dan jawatan, sanggup bertindak untuk merosakkan kesepaduan dan kesepakatan Muafakat Nasional.

Bukankah Muafakat Nasional wadah politik yang memberikan jumlah kerusi yang mencukupi untuk Perdana Menteri menubuh kerajaan? Kerajaan boleh diberi nama apa sahaja.

Perikatan Nasional (PN) atau apa jua nama yang baik dan sesuai. Hakikat tidak boleh dipertikaikan bahawa tanpa kesepakatan dua parti politik utama orang Melayu Muafakat Nasional tidak akan wujud. Tanpa dokongan MN (UMNO, PAS) dengan sokong rakan-rakan lain dalam BN dan GPS dari Sarawak, kerajaan Perikatan Nasional yang ada sekarang tidak akan wujud.

Kepada tiga parti politik orang Melayu, duduklah berunding mencari kesepakatan.

Satukan objektif dan matlamat iaitu memastikan kerajaan dominan Melayu Islam yang ada sekarang mencapai kemenangan jumlah kerusi yang lebih besar dalam PRU 15.

Kerajaan yang teguh untuk kemakmuran rakyat dan kestabilan negara.

Penulis adalah bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya.

(Penulisan ini disiarkan tanpa suntingan dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here