Umno Kubang Kerian pula tolak kerjasama dengan Bersatu, kerajaan PN

0
1

MESYUARAT Perwakilan Bahagian Kubang Kerian semalam meminta kepemimpinan parti itu memutuskan hubungan dan kerjasama dengan Bersatu.

Ketetapan itu dibuat berdasarkan suara akar umbi yang menolak kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta permainan licik politik Bersatu, menurut Umno bahagian itu.

“Menginsafi bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah sebahagian daripada kerajaan PN setelah jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Mengakui bahawa kerajaan PN yang dibentuk telah menafikan hak-hak dan suara Umno dan BN dalam kerajaan hari ini, maka mesyuarat perwakilan Umno Kubang Kerian telah membuat ketetapan seperti berikut:

Pertama: Menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Jazlan Yaakob; Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan.

Kedua: Mendesak memutuskan hubungan dan kerjasama dengan PPBM (Bersatu) berdasarkan kira suara akar umbi yang menolak kerajaan PN serta permainan licik politik PPBM.

Ketiga: Mencadangkan supaya PRU15 diadakan dalam suku pertama 2021, bagi menyerahkan mandat kepada rakyat dan sekiranya tidak dapat diadakan dalam masa terdekat, maka Ahli-Ahli Palimen Umno mestilah menarik sokongan kepada kerajaan PN.

Keempat: Mencadangkan kerjasama antara Umno dan PAS dikaji semula berdasarkan sikap PAS yang tidak mengutamakan hubungan dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN).

Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kubang Kerian dirasmikan Ketuanya, Bakri Yusoff.

Semalam, Umno Pulai di Johor dilaporkan akan mengusulkan agar parti itu menolak sebarang kerjasama dengan kerajaan PN dalam PRU15.

Ketua Bahagiannya, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata hal itu kerana hubungan antara kedua-dua pihak dilihat berada pada tahap amat rapuh.

Ketika ini katanya, tiada kepercayaan yang terjalin antara mereka, sama ada di peringkat pusat mahupun akar umbi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here