Penjualan aset Khazanah Nasional: Faiz kecam PAS, puji tindakan PH

0
1

TINDAKAN PAS berdiam seribu bahasa terhadap tindakan berterusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang didakwa menjual aset-aset Khazanah Nasional nyata mengecewakan rakyat.

Perkara itu disuarakan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) Faiz Fadzil yang mengecam PAS kerana didakwa membiarkan RM8.03 bilion aset Khazanah Nasional lebur dalam masa tujuh bulan PN menjadi kerajaan.

“Kalau dahulu, puak-puak ini sudah pasti bising dan lantang mengkritik Pakatan Harapan (PH).

“Namun sekarang, tiada pula kenyataan menentang tindakan PN “menjarah aset-aset negara”. Inilah sikap hipokrasi PAS yang tidak istiqamah dengan perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Faiz juga mengakui tindakan kerajaan PN meneruskan penjualan aset-aset terpilih Khazanah itu membuktikan strategi PH adalah tepat.

Malah, beliau menyifatkan PH terlebih dahulu melakukan tindakan pengukuhan terhadap Khazanah Nasional dengan dasar sama diambil kerajaan PN sekarang.

“Langkah pengukuhan prestasi dan kredibiliti Khazanah yang dimulakan oleh PH ini harus diteruskan dengan meletakkan prinsip integriti dan tadbir urus korporat yang cekap.

“Ini menunjukkan PH melaksanakan tadbir urus korporat yang cekap. Sebaliknya, ia membuktikan segala tohmahan PAS dan Umno terhadap PH sebelum ini adalah salah dan gendang politik semata-mata,” kata Adun Permatang Pasir itu.

Faiz juga mendakwa penjualan aset itu tidak boleh dipandang negatif semata-mata, sebaliknya ia dapat membantu Khazanah Nasional mengukuhkan kewangannya seperti mana dilakukan PH dalam mengurangkan hutang syarikat itu dahulu.

“Tindakan inilah yang dilakukan PH dahulu. Dalam usaha untuk mengurangkan beban hutang Khazanah sebanyak RM55 bilion yang ditinggalkan Barisan Nasional (BN), PH telah melaksanakan pelan rasionalisasi aset-aset tidak strategik.

“Hasilnya, hanya dalam setahun, liabiliti Khazanah berjaya dikurangkan RM10 bilion. PH bukan menjual aset semata-mata, tetapi dana baharu telah diwujudkan untuk Khazanah melabur dalam pelaburan baharu yang berpotensi tinggi selaras matlamat asalnya,” katanya.

Sejak menjadi kerajaan pada Februari 2020, antara aset Khazanah yang dijual oleh PN adalah pegangan ekuiti dalam Tenaga Nasional Bhd, Telekom Malaysia Bhd, Aemulus Holdings Bhd dan Malaysian Genomics Resource Centre Bhd.

Dalam kes Aemulus, Khazanah telah menjual kesemua pegangannya pada 24 Julai 2020. Menariknya, harga saham Aemulus telah meningkat lebih 100% selepas Khazanah keluar daripada syarikat tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here