Asyraf Wajdi perlu mohon maaf tuduh Bersatu curi, beli ahli Umno

0
1

BERSATU memandang berat tuduhan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa parti tersebut mencuri dan membeli ahli-ahli Umno.

Ketua Penerangannya, Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan Asyraf Wajdi menyebut “setiap yang menyertai Bersatu dibayar sehingga RM100, setiap cawangan yang ditubuh diperuntukkan RM3,000 sehingga RM5,000” tidak dapat diterima sama sekali.

“Saya dengan tegas menafikan tuduhan liar tanpa bukti ini. Saya menuntut Dr Asyraf Wajdi memohon maaf dan menarik balik tuduhan tersebut serta-merta.

“Saya juga akan berbincang dengan parti mengenai kesesuaian mengambil tindakan undang-undang dalam hal ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Asyraf Wajdi dalam kenyataan berkata Bersatu mesti berhenti daripada “mencuri dan membeli” ahli Umno kalau mahu kerjasama antara dua parti itu diteruskan.

Beliau mendakwa Bersatu membayar sehingga RM100 kepada setiap ahli Umno yang menyertai parti itu, sementara cawangan yang ditubuhkan diberi peruntukan antara RM3,000 hingga RM5,000.

Katanya, ketika suasana hubungan Umno-Bersatu di akar umbi semakin panas dan getir lantaran perebutan dan ‘kecurian’ ahli yang semakin menjadi-jadi, Setiausaha Agong Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak wajar menambahkan lagi minyak ke dalam api yang sedang membara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here