UMNO Johor akan memberi laluan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus bertanding di Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum-ke 15 (PRU-15).
Ketua Penerangan Umno Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata cadangan itu telah disampaikan kepada pucuk pimpinan parti baru-baru ini.
Beliau berkata, Umno adalah parti di dalam Perikatan Nasional (PN) dan beliau yakin pakatan itu akan terus diterima rakyat.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin seharusnya diberi laluan untuk kekal bertanding di Pagoh. Pengalaman dan kecekapan beliau dalam mengendalikan negara kita, terutama wabak Covid-19 dan usaha kerja Perdana Menteri wajar diiktiraf.
“Umno Johor sudah beri gambaran pada pucuk pimpinan. Kita harus beri laluan pada Tan Sri Muhyiddin untuk terus bertanding di Pagoh pada PRU15,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Adham yang juga Ketua Bahagian UMNO Tenggara berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Tenggara 2020 di Kota Tinggi hari ini.
November lalu, Pengerusi Lembaga Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan berkata, parti itu akan bertanding di Parlimen Pagoh pada PRU15, iaitu kerusi yang disandang Muhyiddin.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menjadi Ahli Parlimen Pagoh sejak 1978 ketika bersama Barisan Nasional dan mempertahakannya pada PRU14 ketika bertanding atas tiket Pakatan Harapan. – Malaysiapost

