BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Malaysia mempunyai ‘individu’ atau ‘pihak’ yang mengawal dan lebih berkuasa dari undang-undang.
Beliau memberi contoh situasi penyalahgunaan kuasa dan membelakangkan undang-undang di negara lain.
Dr Mahathir berkata, di Amerika Syarikat (AS) seorang lelaki kulit hitam ditahan
menggunakan lutut di lehernya serta dihempas mati oleh seorang anggota polis.
“Seorang lelaki kulit hitam lain juga di AS ditembak mati oleh polis tanpa alasan.
“Manakala di Perancis seorang lelaki kulit hitam diseret dan dipukul oleh polis dan di India pula polis menggunakan kayu ‘lathis’ panjang untuk memukul orang yang tidak mematuhi perintah mereka,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Bagaimanapun, katanya, di Malaysia tidak pernah terjadi kejadian sebegitu, tetapi ada khabar angin mendakwa orang ditahan tanpa sebab.
Katanya, seperti kes bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan beberapa rakannya ditangkap dan ditahan selama lapan hari serta perlu memakai baju oren dan diletakkan ke dalam sel tanpa tempat tidur.
“Setakat ini, tiada tuduhan dibuat terhadap mereka.
“Kemudian ada desas-desus pejabat seorang lelaki diserbu dan fail turut disita. Dia ditahan dan diletakkan ke dalam sel lima hari. Mengapa dia ditangkap tidak diketahui.
“Khabar angin lain adalah mengenai seorang lelaki yang direman lebih dari dua tahun tanpa dikenakan sebarang tuduhan,” katanya.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, nampaknya seperti ada orang berkuasa memerintahkan penahanan terbabit.
Katanya lagi, seorang wanita lain juga ditahan di sel gelap tanpa tuduhan yang jelas terhadapnya.
“Penahanannya diperintahkan oleh orang kuat. Nampaknya orang berkuasa berada di atas undang-undang,” katanya.
Tambah Dr Mahathir, terdapat khabar angin lain mendakwa orang hilang begitu sahaja.
“Inilah Malaysia di mana kita mempercayai kedaulatan undang-undang. Khabar angin ini dilihat bertentangan dengan kedaulatan undang-undang.
“Sekiranya benar, ini adalah kisah-kisah yang menakutkan. Saya harap ia tidak benar.
“Saya tidak mempunyai bukti untuk bahawa perkara itu benar. Tetapi khabar angin itu terus berlegar. Mereka memberitahu saya untuk tidak mengatakan apa-apa. Ia menyakitkan hati saya.
“Tetapi ini bukan Amerika. Inilah Malaysia. Kerajaan tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku,” tegasnya.
Beliau berkata, tiada seorang pun harus bertindak mengatasi undang-undang, tidak peduli seberapa tinggi kedudukannya.
“Rakyat Malaysia harus merasa aman, harus percaya undang-undang ada untuk melindungi mereka.
“Kami telah melihat penyalahgunaan undang-undang lain oleh pihak berkuasa. Sudah tiba masanya mereka berhenti,” ujarnya. – Malaysiapost

