Tiada kerjasama dengan Bersatu pada PRU15

0
1

UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Bercakap kepada media selepas Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Pasir Salak 2020 hari ini, beliau berkata Umno hanya akan bekerjasama dengan PAS.

Ini kerana, katanya, kedua-dua parti telah memeterai piagam Muafakat Nasional (MN) pada 2019 yang memastikan tiada pertembungan dengan kedua-dua parti.

“Dia (Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah) nak bekerjasama dengan Bersatu terpulanglah kepada dia dan Umno tidak akan bekerjasama dengan parti itu dalam pilihan raya akan datang.

“Berdasarkan tinjauan lebih 140 atau dua per tiga daripada ketua bahagian dalam Umno di seluruh negara turut menyatakan pendirian sama.

“Jadi kita mendengar kepada akar umbi, takkan kita mahu dengar cakap Amar tetapi kita hormat kenyataan beliau,” katanya memetik laporan Berita Harian Online.

Tajuddin berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang berkata PAS, Bersatu mahupun Barisan Nasional (BN) tidak mampu menghadapi pilihan raya bersendirian.

Mohd Amar dilaporkan berkata ketiga-tiga parti melalui Perikatan Nasional (PN) perlu bekerjasama dalam PRU15 sekiranya mahu kekal berkuasa.

Tajuddin berkata, kepimpinan PAS perlu berpegang kepada janji yang dimeterai dalam piagam MN kerana kerjasama kedua-dua partu itu dipercayai akan menghasilkan kemenangan besar pada PRU15.

“Janji mesti ditunaikan dan mereka menyertai PN bersama Bersatu tanpa UMNO sedangkan kita sudah bersama dalam MN…jadi carilah jalan keluar.

“(Ketika) kerajaan (dibentuk) dahulu kita bersetuju ia bukan kerjasama politik (sebaliknya) ahli dewan saja (antara) wakil rakyat dengan wakil rakyat dan tidak buat keputusan masuk secara politik dalam PN,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata parti itu tidak akan bekerjasama dengan DAP atau PKR, malah tiada perbincangan kepimpinan tertinggi yang cuba membawa kerjasama itu.

“Sebagai Naib Presiden, saya boleh katakan tidak ada mana-mana perbincangan melibatkan kepimpinan tertinggi yang cuba membawa kita untuk mengadakan kerjasama bersama DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita tetap berpendirian untuk menolak kerjasama dengan DAP dan PKR seperti diputuskan Majlis Tertinggi Umno iaitu ‘no DAP, no PKR.

“UMNO akan terus kekal dengan piagam MN dan mendokong kerajaan Perikatan PN,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Padang Terap hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa bahawa wujud cubaan mengubah pendirian BN menolak PKR dan DAP.

Annuar dilaporkan berkata, gerakan menggagalkan dasar ‘no Anwar, no DAP’ sedang berjalan dengan menggunakan akuan bersumpah (SD). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here