KEGAGALAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) menunaikan dua janji penting pada Belanjawan 2021 lalu, bakal mengundang padah dan membuktikan ia tidak lagi boleh diharapkan rakyat.
Peringatan itu diluah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan timbul keresahan dalam kalangan rakyat terhadap isu pemberian moratorium pinjaman bank dan pengeluaran skim i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang didakwa ‘indah khabar dari rupa’.
“Saya mengambil maklum keluhan ramai terutama melibatkan isu moratorium pinjaman sewa beli kenderaan yang didapati hanya janji dan harapan palsu oleh kerajaan PN.
“Jika benar seperti yang dilaporkan, ini secara tidak langsung mendedahkan lagi kelemahan kerajaan PN dalam membuat sebarang keputusan besar buat negara dan rakyat.
“Perkembangan ini memburukkan keadaan tatkala negara dan rakyat masih bergelut dengan situasi ekonomi pandemik saat ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah mengecewakan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, terdapat ‘hanky panky’ dalam perjanjian melanjutkan tempoh moratorium oleh pihak bank kepada peminjam.
“Saya mendapati moratorium pinjaman sewa beli kenderaan ini datang bersama kos lebih besar dan menambah beban rakyat. Pelbagai syarat yang dikenakan terus merumitkan keadaan, dan ini tidak membantu rakyat di bawah yang saat ini masih terhimpit dengan dampak wabak Covid-19.
“Sebagai kerajaan yang kononnya peduli dan prihatin terhadap nasib rakyat susah, adalah tidak wajar perkara sebegini dipandang enteng dan diambil mudah. Saya menggesa kerajaan dan Menteri Kewangan untuk membetulkan perkara ini sesegera mungkin,” katanya.
Beberapa hari lalu laman Facebook bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibanjiri ribuan komen netizen yang resah dengan perkembangan baharu pihak bank berkaitan pinjaman mereka.
Najib juga mendakwa ada bank memberi diskaun ansuran bulanan atau mengecualikan ansuran selama tiga bulan tetapi melanjutkan baki tempoh bayaran pinjaman antara dua hingga lima tahun lagi.
“Kerajaan PN pula janji dalam penggulungan Belanjawan 2021 bahawa kelulusan automatik bagi lanjutan moratorium pinjaman akan diberi tanpa syarat.
“Lalu dilaungkan pula bahawa janji Belanjawan 2021 bagi lanjutan moratorium pinjaman kononnya telah ditunaikan. Pelik tetapi (ia) memang berlaku,” katanya Najib di akaun Facebook miliknya.
Dalam pada itu, Anwar menggesa kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil menjelaskan perkara sebenar isu pembatalan projek Keretapi Berkelajuan tinggi Kuala Lumpur- Singapura (HSR).
“Kerajaan juga harus menjelaskan dengan lebih terperinci jumlah sebenar yang terpaksa ditanggung kerajaan dan pembayar cukai akibat pembatalan HSR
“Justeru segala pernyataan yang dibuat Menteri Kewangan semasa penggulungan Belanjawan 2021 baru-baru ini sukar dipercayai terutamanya berhubung soal pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), moratorium dan juga projek mega HSR.
“Ia memberi petunjuk bahawa kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang tidak boleh digantung harap,” kata Presiden PKR itu. – Malaysiapost

