PAS menolak sebarang usaha untuk membentuk pakatan baharu dengan pelbagai jenama yang dicadangkan mana-mana pihak, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS itu menegaskan apabila parti itu bersama Umno dan Bersatu baru sahaja menubuhkan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) seperti menanam benih yang baru tumbuh subur, maka cadangan lain adalah tumbuhan liar yang mesti dihapuskan atau makhluk perosak yang wajib dimusnahkan.
“Inilah acuan Islam yang ingin dikembalikan semula setelah dilupakan. Jangan jadi Melayu yang mudah lupa kerana meninggalkan Islam.
“Jadilah Melayu Islam yang sempurna dengan aqidah, syariat, akhlak dan integriti, bersama kaum dan penganut pelbagai agama berkonsepkan adil kepada semua dalam masyarakat majmuk.
“Acuan perpaduan inilah yang boleh menegakkan umat yang selamat di dunia dan akhirat,” katanya menerusi catatan di Facebooknya hari ini.
Berikutan itu, Abdul Hadi berkata, adalah haram gabungan itu memilih acuan akal manusia sempit sekadar menyelamatkan diri, puak dan kedudukan masing-masing, bukan berwadahkan umat yang besar dan wawasan yang jauh daripada dunia sehingga akhirat.
Perpaduan itu, katanya, adalah fardu kifayah kewajipan secara umum dan menjadi fardu ‘ain kepada pemimpin yang bertanggungjawab.
“Justeru iltizam kami (PAS) adalah untuk memperkukuh perpaduan dan persaudaraan sesama kita, serta memperkasakan MN dan PN yang kita bina secara bersama,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu berkata penubuhan MN yang diasaskan PAS serta Umno dan terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama termasuk Bersatu yang dijemput selepas itu adalah pendekatan yang mengikut petunjuk al-Quran dalam aspek perpaduan umat iaitu menyatukan umat Islam.
Ia disusuli penubuhan PN yang menggabungkan semua parti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang membentuk kerajaan PN.
“Ia berasaskan piagam yang dimeterai secara persefahaman dahulu sebelum diperkemas secara berperingkat, berasaskan konsep Islam Agama Rasmi Persekutuan yang telah termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
Kenyataan Abdul Hadi ini hadir ketika beberapa bahagian Umno mengusulkan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Antaranya Umno Pulai di Johor serta Umno Kubang Kerian di Kelantan yang membuat ketetapan itu dalam mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing semalam.
Malah, Umno Kubang Kerian juga meminta kepemimpinan Umno mengkaji kerjasama dengan PAS susulan hubungan rapat parti Islam itu dengan Bersatu dalam PN. – Malaysiapost

