Nilam Oshman
KES harian positif Covid-19 baharu hari ini mencatatkan iaitu 2,295 kes membabitkan 2,286 kes tempatan dan sembilan kes import.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah itu menjadikan kes positif di Malaysia sebanyak 117,373 kes dengan kes aktif sebanyak 22,398 kes sehingga jam 12 tengah hari tadi.
Menurutnya, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 638 kes.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 496 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
“Ini diikuti oleh Johor sebanyak 580 kes dan Pulau Pinang sebanyak 288 kes.
“Sebanyak 135 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (109 kes), Kluster Tembok Gajah (14 kes), Kluster Kolam Air (3 kes) dan Kluster Tembok (3 kes).
“Manakala Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes), Kluster Tembok Mempaga (2 kes) dan Kluster Tembok Choh (1 kes),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat 125 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 51 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Serta terdapat pertambahan sembilan kes kematian melibatkan warganegara, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 483 kes,” katanya. – Malaysiapost

