Nurul Huda Abhar
TAHUN 2020 menjadi bukti pentingnya penjawat awam kepada kesejahteraan dan keselamatan rakyat, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat.
Ini kerana, katanya, penjawat awam bukan saja mampu mengekang penularan Covid-19, bahkan memastikan negara tidak lumpuh walaupun pelbagai sekatan dilakukan melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Cuepacs berharap warga penjawat awam terus menghayati mentera ‘Berkhidmat Untuk Negara’ dalam melaksanakan apa jua tugasan. Jadikan rakyat dan negara sebagai keutamaan mengatasi kepentingan diri,” katanya kepada Malaysiapost.
Adnan berharap kerajaan dapat memastikan setiap agenda untuk memperkasakan kakitangan serta sistem perkhidmatan awam seperti dirancang melalui Belanjawan 2021 dilaksanakan dengan jayanya.
“Cuepacs tidak mahu setiap perkara yang telah dirancang melibatkan penjawat awam, akhirnya ditangguh dengan alasan untuk disemak dan dikaji semula,” ujarnya.
Tambahnya, setiap penjawat awam perlu meninggalkan cabaran dan dugaan sepanjang 2020 dengan membuka lembaran baharu untuk bekerja lebih kuat pada 2021.
Ini kerana, menurutnya, penjawat awam pada 2021 bukan sahaja perlu terus menggalas tanggungjawab memerangi Covid-19, malah memastikan setiap perancangan kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara dapat dilaksanakan.
Jelasnya, penjawat awam bukan saja pemudah cara memastikan setiap program dan usaha kerajaan dapat disampaikan dan dinikmati rakyat, malah menjadi nadi penggerak kepada setiap program yang dirancang.
“Bagaimanapun cabaran utama penjawat awam sudah tentu mendapatkan kerjasama dan sokongan daripada rakyat. Ini bagi memastikan negara serta rakyat dapat kembali menikmati kehidupan yang aman dan sejahtera seperti sebelum ini.
“Tanpa sokongan semua lapisan rakyat, tentu penjawat awam tidak mampu untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Adnan berkata setiap tugas penjawat awam sudah tentu lebih mudah melalui sokongan dan kerjasama rakyat.
Oleh itu, beliau menegaskan agar rakyat membuang persepsi negatif terhadap penjawat awam kerana ia hanya boleh membunuh semangat kerja mereka semua.
“Jika terdapat sebilangan kecil kes pelanggaran integriti, saya berharap agar ia tidak dipersalahkan kepada semua 1.7 juta warga penjawat awam.
“Lihatlah kembali jasa dan kejayaan penjawat awam sebelum ini, penjawat awam tidak mahu dihargai terlalu tinggi tetapi janganlah pula kita mengeji kerana sedikit kealpaan,” kata Adnan. – Malaysiapost

